Adat Perkahwinan India
ADAT PERKAHWINAN KAUM INDIA
Masyarakat india begitu berpegang teguh dengan adat resam
kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat
india, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara
dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh
adat istiadat.
Dalam adat perkahwinan masyarakat india, terdapat beberapa peringkat penting.
Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi
perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu,
faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi
aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral,
rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira.
Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak
yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan
saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga
akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut
telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar.
· KUNJUNGAN KE RUMAH PENGANTIN
Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin
perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon
isterinya.Seterusnya ialah mengkaji kecocokan antara kedua-dua bakal
pengantin. Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thirumanam
Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak
terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk
menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan
dimanak Hindu.
· PROSEDUR IKAT JANJI(NICCAYAM)
Dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah
pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah
bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa,
sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk
diberikan kepada wakil perempuan. Bakal pengantin lelaki seterusnya akan
melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal
pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan
kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan
menukar sirih pinang.
· ADAT PARISAM
Parisam biasa adalah pemberian
hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala
udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama
di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat
India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Pihak pengantin lelaki
akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran
ini perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka
dipanggil cumanggali. Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang
akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan
membawa parisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada
masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan
kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan.
Perkahwinan akan diadakan.Selepas perkahwinan, terdapat
beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas
berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin
perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai
menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri.
Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin
perempuan selama tiga hari. Pada masa itu, ibu bapa mertua akan
menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.